Powered By Blogger

Sunday, June 7, 2020

Power point Slides: Analisis Teks dan Teori Barat (Pilihan)


Assalamualaikum

Video diatas merupakan PowerPoint Slides Analisis Teori Strukturalisme dalam teks Drama Rekaan Utama karya Kala Dewata. Kala Dewata atau nama sebenarnya ialah Mustafa Kamal Yasin dianggap sebagai pelopor drama realisme di Malaysia. Hal ini kerana, beliau telah banyak menulis drama selain novel dan juga cerpen. Oleh sebab itu, kajian telah memilih sebuah drama karya beliau untuk dikaji secara struktur dalamannya

Diharap slide ini dapat membantu dalam memperluaskan kajian mengenai drama Melayu moden di Malaysia. Akhir kata, selamat menonton :)

Monday, May 18, 2020

Teori Kritikan Sastera dari Barat


TEORI STRUKTURALISME 

Di negara-negara Barat, teori sastera telah diperkenalkan sejak sekian lama. Hasil daripada perkenalan teori sastera, bidang kritikan karya sastera telah berkembang dengan baik. Hal ini kerana, karya sastera yang telah dihasilkan mendapat pandangan dan pendapat daripada dua hala iaitu bukan sahaja pemikiran daripada penulis karya tetapi juga pandangan daripada pengkritik sama ada daripada pakar bidang mahupun umum. Oleh sebab itu, walaupun karya yang dihasilkan adalah karya daripada penulis yang sama namun terdapat pelbagai pandangan yang dikeluarkan. Perkara ini menyebabkan sesetengah penulis kadangkala terhapus akibat pengaruh pengkritik terhadap karyanya. Pengkritik selalunya akan mengaplikasikan teori sastera dalam kritikan kerana ia akan lebih berpengaruh kerana teori berlandaskan fakta yang boleh diterima. Antara teori-teori sastera yang diasaskan oleh negara-negara Barat ialah intertekstualiti, strukturalisme, feminisme dan banyak lagi.

Berdasarkan teori-teori sastera yang dinyatakan diatas, saya akan memilih teori strukturalisme untuk dikaji dengan lebih terperinci. Teori strukturalisme pada mulanya telah diperkenalkan di Perancis oleh Claude Levi-Strauss. Beliau merupakan seorang antropologi dan telah mengaplikasikan Strukturalisme Liguistik Saussure dalam kajiannya terhadap fenomena mitos, hubungan kekeluargaan dan peraturan pemakanan. Strukturalisme kemudian telah berkembang luas pada dekad 1960-an sebagai usaha menerapkan kaedah dan wawasan Ferdinand de Saussure.

Ferdinand de Saussure merupakan seorang ahli falsafah swiss pada tahun 1857 hingga tahun 1913. Menurut beliau teori ini ialah cara berfikir tentang dunia yang menfokuskan kepada presepsi dan deskripsi terhadap fenomena mitos dan ritual untuk melihat sistem tanda. Dalam sistem bahasa Saussure, ia mengandungi tanda, penanda dan petanda. Tanda merupakan lambang kepada sesuatu benda atau perkara dan penanda pula merupakan sesuatu yang membawa makna manakala petanda ialah konsep yang dihasilkan oleh interpretasi penanda. Secara rumusannya bahasa ialah proses identifikasi tanda yang mempunyai makna untuk sampai kepada makna (Mana Sikana). 

Menurut Bresster Charles E, bahasa mempunyai struktur dalaman yang tersendiri dan mempunyai peraturan yang sistematik. Oleh sebab itu, peraturan-peraturan ini yang akan menguasai dan menggerakkan semua aspek dalam bahasa seperti bunyi yang mempunyai makna seterusnya apabila digabungkan bunyi ini akan terhasil sebuah perkataan. Perkataan ini kemudian akan dikendalikan untuk menghasilkan sebuah makna yang terdapat dalam bahasa yang disediakan.

Manakala menurut Goldman, beliau percaya bahawa karya sastera mempunyai struktur yang tidak statik dimana karya yang dihasilkan telah digerakkan oleh sejarah, strukturasi dan destrukturasi oleh sesebuah masyarakat yang menghasilkan karya sastera tersebut. Perkara ini berbeza dengan pandangan Claude Levi-Strauss dalam kajiannya mengenai mitos yang hanya mementingkan aspek semasa berbanding sejarah.

Teori strukturalisme mula bertapak di Praha, Slavia pada tahun 1930. Penyokong-penyokongnya terdiri daripada Mukarovsky dan Vodicka. Selepas itu teori ini telah diperluaskan ke Rusia oleh Jurij Lotman dan di Perancis pula oleh Claude Levi Strauss dan Roland Barthes manakala di Eropah oleh I.A Richards dan T.S. Eliot seterusnya diikuti oleh Robert Penn Warren, Alan Tate, Cleanth Brooks, W.K. Wimsatt dan John Crowe Ransom ke Amerika Syarikat. Hasil daripada penyokong yang ramai di beberapa buah negara Barat, teori strukturalisme mula memasuki bidang kitikan sastera melalui buku yang berjudul Theory of Literature. Buku ini telah dihasilkan oleh Rene Wellek dan Austin Warren.

Kemunculan teori strukturalisme disebabkan oleh penolakan terhadap konsep formalisme. Hal ini kerana, kebanyakkan para pengkritik tidak menyokong prinsip-prinsip yang diketengahkan oleh formalisme yang menyelidik aspek struktur karya sastera secara terpisah. Selain itu, mereka juga tidak boleh menerima konsep sebab dan akibat yang diaplikasikan dalam menyelidik plot sesebuah karya sastera yang terhasil daripada transfomasi bentuk. Isu ini telah dijelaskan dalam penyelidikan V. Propp terhadap cerita-cerita rakyat Rusia. Oleh sebab terlalu cenderung terhadap kajian yang menfokuskan teks semata-mata, Roland Barthes telah mengeluarkan kenyataan bahawa apabila sebuah karya sastera telah dihasilkan maka pengarangnya akan mati akibat kritikan-kritikan yang dikeluarkan terhadap karyanya. Selepas teori strukturalisme telah berkembang lama, peralihan pandangan terhadap kritikan bahasa dan makna dipelopori pula oleh Plato dan Aristotle terutamanya dalam sistem tanda dan kod. Hal ini menyebabkan lahirnya semiotik hasil daripada perkembangan teori strukturalisme.

Hasil pembacaan daripada jurnal yang dikeluarkan oleh Mana Sikana, Ferdinand de Saussure menyatakan bahawa bahasa bukan suatu cara untuk menamakan konsep atau sesuatu perkara akan tetapi untuk membezakan konsep dan perkara tersebut yang berlaku secara arbitrari. Hal ini bermaksud hubungan antara penanda dan petanda bukanlah mutlak tetapi hanyalah bersifat sementara dan mempunyai perbezaan. Justeru itu bahasa dilihat sebagai symbol-simbol seperti mainan. Oleh hal yang demikian, Ferdinand de Saussure lebih mengutamakan langue bahasa sebagai sebuah sistem berbanding parole yang merupakan ucapan. Berdasarkan pernyataan ini, jelaslah kepercayaan beliau terhadap bahasa yang merupakan sebuah perlambangan yang tersembunyi disebalik perlambangan. Makna yang berlapis-lapis dalam struktur bahasa dan kadangkala didalam struktur itu juga terdapat maknanya yang tersendiri. Makna yang dinyatakan pula tidak jelas dan ia juga tidak pernah menjelaskan dirinya kepada pembaca. Oleh sebab itu, teori strukturalisme ini ditugaskan untuk mencari makna yang tersirat dan tersurat dalam karya walaupun bukan mudah untuk mencari makna dan mencari makna bukanlah perkara utama dalam sesebuah karya sastera.

Disebabkan teori ini terlalu luas maka pendekatannya juga mempunyai banyak konsep dimana karya sastera dilihat sebagai sebuah dunia yang mempunyai rangka dan bentuknya yang tersendiri. Selain itu, konsepnya yang menekankan keberhasilan karya dari segi isi dan bentuk sebagai panduan. Manakala konsep ketiga ialah berdasarkan elemen yang membina pengkaryaan ia dapat meneliti karya secara adil. Keempat ialah konsep keikhlasan kerana hal ini pernah dipertikaikan terutama golongan pengkarya yang kurang menyenangi usaha para pengkritik dan akhir sekali ialah konsep ini melihat kepada perpaduan di antara isi dan bentuk.

Untuk meneliti makna bahasa dalam karya sastera, terdapat beberapa prinsip yang telah diketengahkan oleh Ferdinand de Saussure antaranya ialah kaitan, keseluruhan, transformasi, kawalan diri, sinkronisme dan desentralisasi subjek.

Kaitan: Gagasan teks dan pembentukan struktur bentuknya saling berkaitan antara satu sama lain dengan cernaan teks.

Keseluruhan: Melihat bahawa karya ialah sebuah sistem dan harus dikaji secara keseluruhan tanpa meninggalkan mana-mana struktur.

Transformasi: Karya sastera mempunyai hukumnya yang tersendiri untuk berkembang seperti kekuatan strukturaliti yang akan membawa sebuah karya ke peringkat inovatif dan avant garde.

Kawalan Diri: Setiap teks mempunyai diri sendiri maka analisis hanya diutamakan kepada strukturnya sahaja tanpa bersandar kepada unsur luar.

Sinkronisme: Jalinan yang membentuk sistem teks tanpa mengaitkannya dengan hubungan pada masa-masa tertentu seperti proses historis. Justeru itu, penelitian hanya tertumpu kepada bahasa dan peraturan-peraturannya sahaja yang membentuk teks tersebut.

Desentralisasi subjek: Pandangan teori ini yang mengabaikan sejarah dan pengarangnya dalam membentuk makna teks

Fokus teori strukturalisme ialah untuk menerapkan teori linguistik dalam karya iaitu menekankan makna dalam bahasa selain itu, teori ini turut menfokuskan kepada aspek dalaman yang membentuk struktur dan bentuk sesebuah karya sastera. Aspek dalaman tersebut termasuklah tema, plot, perwatakan, bahasa, latar dan sudut pandangaan dalam novel dan cerpen manakala sajak pula akan dianalisis dengan mengutamakan aspek bahasa dan stail iaitu aliterasi, asonansi, personafikasi, simile, metafora dan sebagainya. Teori ini hanya menganalisis berpandukan kepada aspek dalaman sahaja dan tidak menghuraikan aspek ekstrinsiknya. Ia juga tidak melihat kepada diri pengarang, latar belakang pengarang, pendidikan dan sebagainya.

Kesimpulannya teori strukturalisme merupakan sebuah teori yang sangat luas. Semua ini adalah daripada hasil penyokongnya yang ramai. Oleh sebab itu, teori ini telah dipilih dalam kajian untuk melihat perkaitan aspek dan bentuk yang terdapat dalam sesebuah karya sastera tanpa memandang aspek luaran. Menyelidik teori ini juga secara tidak langsung penyelidik dapat menilai kelemahan teori formalisme seperti yang dinyatakan oleh penyokong teori strukturalisme yang menolak prinsip-prinsip yang diketengahkan dalam teori tersebut.

Friday, May 8, 2020

Pembentangan 1: Analisis Teori dalam Teks Teater Pilihan


Pembentangan 1: Analisis Teori dalam Teks Teater Pilihan

Assalamualaikum.

Video ini menerangkan tentang relevan topik penulisan blog dengan isu-isu semasa. Selain itu, terdapat juga perkongsian perbandingan blog-blog lain dan kekuatan serta fokus perbincangan penulisan blog ini.

Selamat menonton :)
 

Wednesday, April 1, 2020

Analisis Skrip Pengadilan karya Mana Sikana


b)      TEKS DRAMA PILIHAN

SINOPSIS
Skrip drama ‘Pengadilan’ mengisahkan tentang kes pembunuhan yang terjadi disebuah perkampungan kecil. Bermula dengan tabuh yang berbunyi menandakan ada kematian di kampung itu, Hitam yang merupakan seorang penggali kubur tergesa-gesa ke rumah Pak Aji untuk memaklumkan bahawa ada kematian. Hitam mengatakan kepada Pak Aji bahawa Ngah Deman telah mati dibunuh oleh suami Bibah. Namun tidak lama kemudian datang pula Bidin yang merupakan salah seorang daripada penduduk kampung. Bidin menyatakan bahawa dia melihat mayat suami Bibah dengan berlumuran darah. Disamping itu, Bidin juga percaya bahawa Ngah Deman telah membunuh suami Bibah kerana suami Bibah tidak mahu menceraikan Bibah. Sebenarnya suami Bibah merupakan cina buta yang diupah oleh Ngah Deman untuk mengahwini bekas isterinya iaitu Bibah. Disebabkan itu, Bidin percaya bahawa Ngah Deman telah membunuh suami Bibah. Maka disini bermulalah berdebatan antara Hitam dan Bidin yang masing-masing mempertahankan kenyataan mereka. Namun Pak Aji sebagai orang yang lebih tua disitu mendengar perdebatan mereka sesekali menenangkan Hitam dan Bidin. Semasa perdebatan yang disaksikan oleh Pak Aji berjalan, datang pula Bibah. Bibah mengadu kepada Pak Aji bahawa Ngah Deman mati bunuh diri dan Bibah menyalahkan dirinya kerana dia tidak mahu diceraikan oleh suaminya. Kenyataan Bibah itu mengejutkan Pak Aji, Hitam dan Bidin. “Kita sekarang bukan dalam keadaan pembunuhan sahaja tetapi pengadilan juga.” Itulah kata-kata Pak Aji apabila dia sendiri mencari satu kebenaran tentang kes yang diperdebatkan oleh Hitam, Bidin dan Bibah yang masing-masing mempunyai kenyataan yang berlainan. Memikirkan hal itu, Pak Aji meminta ketiga-tiga mereka menyiasat perkara sebenar dan selepas itu datang semula kerumah Pak Aji namun jawapan mereka tetap sama seperti sebelum ini. Tidak lama kemudian datang Ngah Deman dan masing-masing terkejut. Hitam pula terus rebah dan mati akibat melihat Ngah Deman yang muncul secara tiba-tiba. Bibah pula menangis gembira kerana Ngah Deman tidak mati manakala Bidin terus mendekati Ngah Deman dan mengatakan Ngah Deman sebagai pembunuh. Namun perkara itu dibuktikan oleh Bibah bahawa suaminya ada dirumah dan tidak mati. Maka satu kebenaran yang dapat disimpulkan oleh Pak Aji ialah tidak pembunuhan dikampung mereka namun ada kematian iaitu Hitam yang pada mulanya menggali kubur dan mengetuk tabuh untuk kematian Ngah Deman bertukar kepada dirinya sendiri.

PENULIS DAN LATAR BELAKANG
Skrip drama ‘Pengadilan’ merupakan karya Abdul Rahman Hanafiah atau lebih dikenali sebagai Mana Sikana. Beliau merupakan anak jati Bagan Serai berketurunan Banjar yang dilahirkan pada 9 Oktober 1945. Mana Sikana telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan, Bukit Chandan, Kuala Kangsar pada tahun 1954 sehingga 1959. Selepas habis persekolahan beliau melanjutkan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sehingga ke peringkat Doktor Falsafah (PHD). Sebelum menjadi pensyarah dibeberapa buah universiti terkemuka Mana Sikana pernah menjadi seorang guru dibeberapa buah sekolah sekitar negeri Johor. Dalam masa yang sama beliau tidak mengetepikan minat sebagai seorang penulis. Banyak karya kreatif dan juga kertas kerja yang telah dihasilkan oleh beliau sehingga telah dinobatkan sebagai Sasterawan Perak oleh Kerajaan Negeri di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan yang disempurnakan oleh Sultan Perak, Raja Azlan Shah pada 23 Jun 2004.

TAHUN DAN PENERBITAN
Skrip drama ini telah diterbitkan pada tahun 1983 oleh penerbitan Sarjana, yang terletak di Petaling Jaya. Namun pada tahun 1984, Mana Sikana telah mengumpulkan skrip drama ‘Pengadilan’ bersama- sama dengan lima buah lagi skrip drama Melayu yang ditulis oleh Shaharom Husain, Usman Awang, Abdul Talib Mohd Hassan dan A. Shukor Harun dalam sebuah buku yang bertajuk ‘Keris Laksamana Bentan.’ Buku ini telah diterbitkan oleh Fajar Bakti SDN BHD dan kandungan buku ini telah disusun sendiri oleh Mana Sikana. Tujuan buku ‘Keris Laksama Bentan’ ini diterbitkan adalah untuk pembelajaran di sekolah. Oleh sebab itu, Mana Sikana telah memilih skrip- skrip yang sesuai untuk tujuan tersebut.

c)     ANALISIS TEKS

ANALISIS WATAK DAN PERWATAKAN
Skrip drama ‘Pengadilan’ ini terdapat lima watak yang telah diketengahkan oleh Mana Sikana. Watak- watak tersebut terdiri daripada Pak Aji, Hitam, Bidin, Bibah dan Ngah Deman. Berikut akan diterangkan perwatakan watak:

PAK AJI
·         Lelaki yang sudah berusia
·         Seorang yang tenang
·         Tidak membuat keputusan terburu-buru tanpa bukti yang sahih
·         Selalu bercakap berpandukan Al- Quran dan hadis

HITAM
·         Merupakan bujang terlajak di kampung itu
·         Berkulit gelap
·         Bekerja sebagai penggali kubur
·         Menghormati orang tua
·         Tidak sependapat dengan Bidin dan selalu berdebat
·         Mengatakan Ngah Deman mati dibunuh oleh suami Bibah

BIDIN
·         Pemuda di kampung itu
·         Menghormati orang tua
·         Berlagak kerana percaya apa yang dikatakannya semua benar
·         Panas baran
·         Suka menyindir Bidin kerana tidak sependapat dengannya
·         Mengatakan suami Bibah telah membunuh Ngah Deman

BIBAH
·         Bekas isteri Ngah Deman
·         Telah berkahwin dan suaminya merupakan cina buta yang diupah oleh Ngah Deman
·         Tidak mahu diceraikan oleh suaminya
·         Sering menangis dan mengikutkan perasaan
·         Menghormati orang tua
·         Menyatakan Ngah Deman telah mati bunuh diri akibat kesalahannya

NGAH DEMAN
·         Bekas suami Bibah
·         Tinggal dihujung kampung
·         Tidak suka bergaul dengan masyarakat kampung
·         Suka menyendiri
·         Digambarkan seorang yang tidak mempunyai perasaan

KESIMPULAN
Secara keseluruhannya ‘Pengadilan ialah sebuah skrip yang beraliran realism dimana isi kandungan tidak bersifat imaginasi dan bukan khayalan penulis. ‘Pengadilan’ juga boleh dikatakan sebagai sebuah drama mahkamah walaupun penulis tidak melatarbelakangkan cerita dengan mahkamah tetapi situasi pengadilan tentang kes pembunuhan dilihat sama.

MANFAAT TEKS SKRIP INI TERHADAP PEMBACA
Skrip drama ‘Pengadilan’ memberikan banyak manfaat kepada pembacanya. Hal ini kerana, kandungan yang diketengahkan oleh penulis sarat dengan pembelajaran dan pengajaran. Selain itu penulis juga tidak lupa dalam menjalankan tanggungjawab sebagai khalifah iaitu dengan menjadikan karya beliau sebagai wadah dalam mempertingkatkan ketakwaan dan keimanan kepada Allah S.W.T. Sifat- sifat yang baik yang digambarkan oleh watak Pak Aji harus dicontohi oleh setiap golongan iaitu tidak mengambil keputusan terburu- buru sehingga mendapat bukti yang sahih. Disini juga penulis menekankan bahawa setiap persoalan yang berlaku dalam masyarakat boleh diselesaikan dengan mudah jika kita sering mengaplikasikan Al- Quran dan hadis sebagai panduan dan pegangan hidup.

Tuesday, March 31, 2020

Aplikasi Teori Pengkaedahan Melayu Dalam Analisis Skrip Drama Pengadilan

a)      TEORI PENGKAEDAHAN MELAYU
Pengkaedahan Melayu merupakan salah satu daripada teori tempatan yang digagaskan oleh sasterawan negara Malaysia. Teori ini menumpukan sepenuhnya terhadap bangsa Melayu iaitu dari segi agama, sosial dan sebagainya. Hal ini kerana idea teori ini bersandarkan kepada kitab Taj al- Muluk terbitan Muktabah Wamatbaah Wal maari’f, Pulau Pinang. Hasil daripada garapan idea tersebut, pengkaedahan Melayu telah dibentangkan buat kali pertamanya di Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Melayu yang diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1989.

Pembentang tersebut tidak lain tidak bukan merupakan pengasas teori pengkaedahan Melayu iaitu Profesor Dato’ Dr. Hashim Awang. Beliau merupakan anak jati Terengganu yang dilahirkan pada tahun 1937. Beliau telah mendapat pendidikan dari Universiti Malaya sejak dari ijazah (B.A) sehingga ke Doktor Falsafah (Phd). Setelah itu beliau menjadi seorang pensyarah yang berjaya dibeberapa buah universiti terkemuka sebelum kembali semula ke Universiti Malaya sebagai felo penyelidikan.

Menurut Profesor Dato’ Dr. Hashim Awang, beliau mengagaskan teori pengkaedahan Melayu ini kerana melihat kelemahan teori- teori Barat yang dikatakan berat sebelah serta adakalanya tidak sesuai untuk menganalisis karya Melayu. Hal ini kerana, karya Melayu mempunyai keunikan dan keindahannya yang tersendiri dan mungkin hal ini tidak diketahui secara terperinci oleh pelopor Barat disebabkan mereka bukan dari kalangan bangsa Melayu dan beragama Islam. Selain itu, sasterawan negara ini percaya bahawa analisis karya sastera yang berjaya tidak hanya melihat kepada aspek formalisme sahaja tetapi harus juga melihat kepada aspek jati diri dan agama Islam itu sendiri. Oleh sebab itu, teori ini menekankan isu ini dengan mengabaikan aspek yang jauh lebih penting dalam menganalisis karya sastera. Semua ini bagi memastikan bahawa analisis karya sastera benar- benar bertalian dengan worldview Melayu itu sendiri.

Bagi memastikan idea diatas benar- benar terlaksana maka Profesor Dato’ Dr. Hashim Awang telah memperincikan teori pengkaedahan Melayu kepada dua bahagian iaitu pengkaedahan alami yang terdiri daripada pendekatan gunaan, moral dan firasat. Manakala pengkaedahan keagamaan pula terdiri daripada pendekatan dakwah, masyarakat dan seni.

Pengkaedahan Alami: Berteraskan cara hidup masyarakat Melayu yang menjadikan alam sebagai sebahagian daripada kehidupan

·         Pendekatan Gunaan: Menganggap bahawa karya sastera merupakan objek alam yang  dicipta oleh manusia. Oleh sebab itu, hasil karya sastera mempunyai fungsi dan sebab tertentu
·         Pendekatan Moral: Sastera dijadikan wadah dalam menyampaikan pengajaran kepada masyarakat kerana kandungan sastera yang mempunyai ilmu pengetahuan
·         Pendekatan Firasat: Bertalian dengan mimpi yang memerlukan tafsiran

Pengkaedahan Keagamaan: Berdasarkan keimanan yang bersandarkan kepada Al- Quran dan hadis

·         Pendekatan Dakwah: Melihat karya sastera sebagai wadah dalam mempertingkatkan ketakwaan kepada Yang Maha Esa selain dapat menguatkan keimanan dengan paparan mengenai kesucian dan kemurniaan Islam
·         Pendekatan Masyarakat: Sebagai alat untuk mendedahkan segala persoalan yang berlaku dalam masyarakat demi mencari keadilan dan kebaikan dalam masyarakat Melayu
·         Pendekatan Seni: Menumpukan kepada aspek keindahan yang berlandaskan Al- Quran dan hadis
      
      ANALISIS SKRIP DRAMA PENGADILAN
Antara dua pengkaedahan yang diketengahkan oleh Profesor Dato’ Dr. Hashim Awang, penyelidik akan memilih pengkaedahan keagamaan dalam menganalisis skrip drama yang dipilih. Hal ini kerana apabila meneliti skrip drama pilihan secara menyeluruh, penulis skrip banyak mengetengahkan tentang dalil-dalil Al- Quran dan juga hadis- hadis Nabi Muhammad S.A.W dalam dialog watak- watak yang dimainkan. Maka secara tidak langsung skrip drama ini dihasilkan bersandarkan kepada Al- Quran dan hadis. Contoh dalil yang dinyatakan dalam skrip drama ialah melalui watak Pak Aji

Pak Aji: [Ambil jalan tengah.] Nanti-nanti…bolehku terangkan dalil- dalilnya: Tuhan berfirman didalam Al- Quran: “Dan janganlah kamu membunuh diri kamu. Barangsiapa yang melakukannya demikian secara ceroboh atau zalim maka kami akan membakarnya dengan api.” “Dan firman Tuhan lagi: “Barangsiapa membunuh orang dengan tiada kesalahan atau berbuat kerosakan di bumi, seolah- olah membunuh semua manusia.”

Apabila meneliti lebih mendalam skrip drama ini, pendekatan dakwah pula ditemui. Hal ini kerana penulis tidak lupa tentang tanggungjawabnya menjadikan karya sastera sebagai wadah mempertingkatkan ketakwaan kepada Allah S.W.T dengan mengetengahkan kesucian dan kemurniaan islam dalam dialog watak iaitu watak Bidin dan Hitam. Sebagai contoh

Bidin: [Mengulang dialog Pak Aji.] Sebaik- baik manusia ialah mereka yang panjang umurnya  dan baik amalannya. Nah, kalau begitu, kita harus berdoa suapaya dipanjangkan umur kita, diperbaiki amalan kita.

Hitam: Aku memang setiap kali lepas sembahyang tidak lupa berdoa supaya dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki

Melihat skrip drama yang berlatarbelakangkan kehidupan masyarakat Melayu, maka analisis menumpukan pula pada persoalan yang berlaku kepada masyarakat yang didedahkan oleh penulis melalui dialog watak Pak Aji yang inginkan pengadilan dalam menyelesaikan persoalan pembunuhan yang berlaku dikampungnya. Hal ini watak Hitam, Bidin, dan Bibah yang merupakan saksi kejadian masing- masing memberikan kenyataan yang berbeza. Dialog tersebut seperti berikut

Pak Aji: Kita sebenarnya bukan sahaja dihadapkan oleh masalah pembunuhan tetapi juga oleh  pengadilan.

Sesudah melihat pendekatan- pendekatan diatas maka jelas sekali penulis tidak lari dalam mengaplikasikan pendekatan seni dengan memperlihatkan keindahan estetika berlandaskan Al- Quran dan hadis. Meneliti dialog demi dialog yang dimainkan oleh watak- watak dalam skrip drama ini ternyata sarat dengan dialog berlandaskan Al- Quran dan hadis. Daya kreativiti yang diaplikasikan oleh penulis sangat dinamik apabila persoalan tentang permasalahan masyarakat dapat dijawab dan diperkukuhkan lagi dengan tambahan Al- Quran dan hadis yang sememangnya merupakan pegangan dan panduan masyarakat Melayu yang beragama islam. Antara hadis Nabi Muhammad yang diketengahkan dalam dialog Pak Aji ialah

Pak Aji: Nabi Muhammad ada bersabda: “Jangan seseorang kamu mengharap kematian, kalau dia seorang yang berbuat kebajikan, mudah- mudahan semakin bertambah kebajikannya, dan kalau dia berbuat salah, mudah- mudahan dia bertaubat

Selepas kajian dilakukan secara terperinci daripada satu pendekatan ke satu pendekatan yang diketengahkan dalam teori pengkaedahan Melayu, ternyata skrip drama ini sarat dengan mesej dan pengajaran tentang agama Islam seperti karya- karya Mana Sikana yang lain antaranya ialah  drama Apa-apa, Kesesatan dan sebagainya. Tindakan Mana Sikana dalam karyanya yang berunsurkan Islam jelas menunjukkan bahawa beliau sangat bertanggungjawab dalam memperluaskan kuantiti cerita Islam di negara kita. Antara tema dan persoalan yang sering diketengahkan oleh beliau ialah hubungan manusia dengan Yang Maha Esa, keinsafan, syariat islam dan banyak lagi. Hal ini termasuklah dengan drama pengadilan yang bertemakan keadilan yang harus dicari berlandaskan bukti-bukti yang sahih.

Berdasarkan tema drama pengadilan yang dinyatakan diatas jelas Mana Sikana ingin memperlihatkan bahawa sebagai manusia yang dianggap sebagai khalifah Allah dimuka bumi ini haruslah menegakkan keadilan dengan cara yang benar dan bukti yang sahih agar yang lemah dapat dibela nasib mereka. Dalam drama pengadilan ada memaparkan watak Pak Aji yang memainkan peranan sebagai seorang khalifah dan ketua yang baik. Hal ini kerana, Pak Aji yang digambarkan oleh Mana Sikana tidak mengambil keputusan terburu- buru untuk menghukum pesalah yang dikatakan oleh Hitam dan Bidin. Pak Aji juga tidak terus melulu mempercayai apa yang dikatakan oleh Hitam, Bidin dan Bibah sebaliknya Pak Aji menasihati mereka dengan menggunakan dalil- dalil dan hadis Islam agar mereka bersabar dan mencari bukti yang sahih tentang kes pembunuhan yang berlaku di kampung mereka.

Bagi mengimbangi watak Pak Aji yang digambarkan sebagai ketua dan khalifah yang baik, Mana Sikana telah menggambarkan watak Hitam dan Bidin yang merupakan pemuda yang berdarah panas. Hal ini kerana, mereka berdua suka bertengkar dan menyindir antara satu sama lain semata- mata untuk menegakkan jawapan mereka terhadap kes pembunuhan yang berlaku dikampung mereka. Dari gambaran ini jelas menunjukkan bahawa mereka mengadili dengan berlandaskan emosi dan bukannya dengan cara berfikir secara rasional seperti apa yang dilakukan oleh Pak Aji. Hal itu juga menyebabkan Pak Aji harus memainkan peranan sebagai orang yang lebih tua untuk menenangkan mereka berdua.

Selain itu, persoalan syariat Islam juga sangat ditekankan dalam skrip drama ini oleh Mana Sikana. Hal ini kerana sudah sedia maklum bahawa syariat Islam merupakan panduan kehidupan bagi seluruh manusia termasuklah bagi yang bukan Islam. Selain daripada terkandung hukum dan peraturan, syariat Islam juga menjadi panduan dalam menyelesaikan permasalahan yang berlaku. Oleh sebab itu, umat Islam sering menjadikan syariat Islam sebagai panduan yang sempurna dalam menjalani kehidupan di dunia. Aspek ini telah diperlihatkan Oleh Mana Sikana dalam watak Pak Aji yang sentiasa menggunakan Al- Quran dan hadis Nabi Muhammad S.A.W dalam kehidupan sehariannya. Sebagai contoh nasihat sentiasa diberikan kepada Bidin dan Hitam ketika mereka bertengkar. Malah dalam proses menyelesaikan kes pembunuhan di kampung mereka juga, Pak Aji turut menggunakan panduan syariat Islam sebagai rujukan.

Melalui aspek ini, dapat diperlihatkan bahawa pemikiran Mana Sikana memainkan peranan dalam menghidupkan syariat Islam. Hal ini kerana kadang kala dapat dilihat ada sesetengah masyarakat yang menganggap dan lebih memilih peraturan- peraturan yang dipengaruhi oleh negara Barat tanpa sedar bahawa syariat Islam merupakan panduan yang sama sekali tidak ketinggalan zaman dan sentiasa berguna jika kita sering mengaplikasikannya dalam kehidupan.

Tambahan lagi, dalam skrip ini ada diketengahkan juga tentang hubungan manusia dengan Allah S.W.T. Dalam konteks yang diperlihatkan oleh Mana Sikana dalam drama ini ialah setiap manusia tidak akan lari daripada menerima dugaan dan ujian dari Allah S.W.T. Malah para nabi terdahulu juga turut menerima ujian yang hebat- hebat. Namun walau sehebat mana dugaan dan ujian yang diberikan kita haruslah bersabar dan ikhlas menerimanya tanpa menyalahkan Allah S.W.T dengan berprasangka terhadapNya. Sesungguhnya setiap dugaan dan ujian yang diberikan mempunyai hikmah dan kebaikan selepasnya. Aspek ini digambarkan dalam dalam watak Pak Aji yang cuba menasihati Bibah agar bersabar dengan kematian bekas suaminya.

Di samping itu, jika dilihat dengan teliti Mana Sikana juga berani dalam mengetengahkan kritikan sosial dalam skrip drama ini. Aspek ini dilihat sebagai penambah dalam melaksanakan tanggungjawab beliau sebagai penulis. Tambahan pula, hasil kreativiti beliau dalam kritikan dan meluaskan agama Islam melalui karya dapat memperlihatkan mutu karya beliau sangat tinggi dengan aspek jati diri. Hal ini yang ditekankan dalam teori pengkaedahan Melayu oleh Profesor Dato’ Dr. Hashim Awang. Antara kritikan sosial yang diketengahkan oleh Mana Sikana dalam drama pengadilan ialah mengambil kesempatan diatas kesedihan dan kesusahan orang lain. Sikap ini jika dilihat masih berlaku pada era globalisasi ini. Melalui watak Hitam yang bekerja sebagai penggali kubur berasa gembira apabila mendapat khabar kematian di kampungnya. Hal ini kerana, Hitam hanya bergantung kepada pekerjaan itu untuk meneruskan kehidupannya.

Secara keseluruhan, sudah jelas skrip drama ini sepenuhnya menceritakan kisah yang menfokuskan kepada kehidupan masyarakat Melayu. Oleh sebab itu, skrip drama ini dilihat tidak sesuai untuk dikaitkan dengan teori Barat seperti yang diperkatakan oleh Profesor Dato’ Dr. Hashim Awang. Hal ini kerana, skrip drama ini sarat dengan dalil-dalil dan juga hadis Islam. Jika menggunakan teori Barat pastinya akan dilihat tidak sesuai kerana agama dan pandangan mereka berbeza dengan pandangan dan agama Islam di Malaysia. Selain itu, berdasarkan skrip drama ini dapat dilihat jati diri Mana Sikana dalam menghasilkan karya beliau dengan menggunakan cara tersendiri sehingga karya beliau dikatakan sangat bermutu.

Justeru itu skrip drama ini dapat dikaitkan dengan teori pengkaedahan Melayu kerana sangat bertalian dengan worldview Melayu itu sendiri. Di samping aspek teori yang lebih mengutamakan kepada jati diri penulis dan juga aspek agama Islam dalam hasil karya yang dicipta.