Powered By Blogger

Wednesday, April 1, 2020

Analisis Skrip Pengadilan karya Mana Sikana


b)      TEKS DRAMA PILIHAN

SINOPSIS
Skrip drama ‘Pengadilan’ mengisahkan tentang kes pembunuhan yang terjadi disebuah perkampungan kecil. Bermula dengan tabuh yang berbunyi menandakan ada kematian di kampung itu, Hitam yang merupakan seorang penggali kubur tergesa-gesa ke rumah Pak Aji untuk memaklumkan bahawa ada kematian. Hitam mengatakan kepada Pak Aji bahawa Ngah Deman telah mati dibunuh oleh suami Bibah. Namun tidak lama kemudian datang pula Bidin yang merupakan salah seorang daripada penduduk kampung. Bidin menyatakan bahawa dia melihat mayat suami Bibah dengan berlumuran darah. Disamping itu, Bidin juga percaya bahawa Ngah Deman telah membunuh suami Bibah kerana suami Bibah tidak mahu menceraikan Bibah. Sebenarnya suami Bibah merupakan cina buta yang diupah oleh Ngah Deman untuk mengahwini bekas isterinya iaitu Bibah. Disebabkan itu, Bidin percaya bahawa Ngah Deman telah membunuh suami Bibah. Maka disini bermulalah berdebatan antara Hitam dan Bidin yang masing-masing mempertahankan kenyataan mereka. Namun Pak Aji sebagai orang yang lebih tua disitu mendengar perdebatan mereka sesekali menenangkan Hitam dan Bidin. Semasa perdebatan yang disaksikan oleh Pak Aji berjalan, datang pula Bibah. Bibah mengadu kepada Pak Aji bahawa Ngah Deman mati bunuh diri dan Bibah menyalahkan dirinya kerana dia tidak mahu diceraikan oleh suaminya. Kenyataan Bibah itu mengejutkan Pak Aji, Hitam dan Bidin. “Kita sekarang bukan dalam keadaan pembunuhan sahaja tetapi pengadilan juga.” Itulah kata-kata Pak Aji apabila dia sendiri mencari satu kebenaran tentang kes yang diperdebatkan oleh Hitam, Bidin dan Bibah yang masing-masing mempunyai kenyataan yang berlainan. Memikirkan hal itu, Pak Aji meminta ketiga-tiga mereka menyiasat perkara sebenar dan selepas itu datang semula kerumah Pak Aji namun jawapan mereka tetap sama seperti sebelum ini. Tidak lama kemudian datang Ngah Deman dan masing-masing terkejut. Hitam pula terus rebah dan mati akibat melihat Ngah Deman yang muncul secara tiba-tiba. Bibah pula menangis gembira kerana Ngah Deman tidak mati manakala Bidin terus mendekati Ngah Deman dan mengatakan Ngah Deman sebagai pembunuh. Namun perkara itu dibuktikan oleh Bibah bahawa suaminya ada dirumah dan tidak mati. Maka satu kebenaran yang dapat disimpulkan oleh Pak Aji ialah tidak pembunuhan dikampung mereka namun ada kematian iaitu Hitam yang pada mulanya menggali kubur dan mengetuk tabuh untuk kematian Ngah Deman bertukar kepada dirinya sendiri.

PENULIS DAN LATAR BELAKANG
Skrip drama ‘Pengadilan’ merupakan karya Abdul Rahman Hanafiah atau lebih dikenali sebagai Mana Sikana. Beliau merupakan anak jati Bagan Serai berketurunan Banjar yang dilahirkan pada 9 Oktober 1945. Mana Sikana telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan, Bukit Chandan, Kuala Kangsar pada tahun 1954 sehingga 1959. Selepas habis persekolahan beliau melanjutkan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sehingga ke peringkat Doktor Falsafah (PHD). Sebelum menjadi pensyarah dibeberapa buah universiti terkemuka Mana Sikana pernah menjadi seorang guru dibeberapa buah sekolah sekitar negeri Johor. Dalam masa yang sama beliau tidak mengetepikan minat sebagai seorang penulis. Banyak karya kreatif dan juga kertas kerja yang telah dihasilkan oleh beliau sehingga telah dinobatkan sebagai Sasterawan Perak oleh Kerajaan Negeri di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan yang disempurnakan oleh Sultan Perak, Raja Azlan Shah pada 23 Jun 2004.

TAHUN DAN PENERBITAN
Skrip drama ini telah diterbitkan pada tahun 1983 oleh penerbitan Sarjana, yang terletak di Petaling Jaya. Namun pada tahun 1984, Mana Sikana telah mengumpulkan skrip drama ‘Pengadilan’ bersama- sama dengan lima buah lagi skrip drama Melayu yang ditulis oleh Shaharom Husain, Usman Awang, Abdul Talib Mohd Hassan dan A. Shukor Harun dalam sebuah buku yang bertajuk ‘Keris Laksamana Bentan.’ Buku ini telah diterbitkan oleh Fajar Bakti SDN BHD dan kandungan buku ini telah disusun sendiri oleh Mana Sikana. Tujuan buku ‘Keris Laksama Bentan’ ini diterbitkan adalah untuk pembelajaran di sekolah. Oleh sebab itu, Mana Sikana telah memilih skrip- skrip yang sesuai untuk tujuan tersebut.

c)     ANALISIS TEKS

ANALISIS WATAK DAN PERWATAKAN
Skrip drama ‘Pengadilan’ ini terdapat lima watak yang telah diketengahkan oleh Mana Sikana. Watak- watak tersebut terdiri daripada Pak Aji, Hitam, Bidin, Bibah dan Ngah Deman. Berikut akan diterangkan perwatakan watak:

PAK AJI
·         Lelaki yang sudah berusia
·         Seorang yang tenang
·         Tidak membuat keputusan terburu-buru tanpa bukti yang sahih
·         Selalu bercakap berpandukan Al- Quran dan hadis

HITAM
·         Merupakan bujang terlajak di kampung itu
·         Berkulit gelap
·         Bekerja sebagai penggali kubur
·         Menghormati orang tua
·         Tidak sependapat dengan Bidin dan selalu berdebat
·         Mengatakan Ngah Deman mati dibunuh oleh suami Bibah

BIDIN
·         Pemuda di kampung itu
·         Menghormati orang tua
·         Berlagak kerana percaya apa yang dikatakannya semua benar
·         Panas baran
·         Suka menyindir Bidin kerana tidak sependapat dengannya
·         Mengatakan suami Bibah telah membunuh Ngah Deman

BIBAH
·         Bekas isteri Ngah Deman
·         Telah berkahwin dan suaminya merupakan cina buta yang diupah oleh Ngah Deman
·         Tidak mahu diceraikan oleh suaminya
·         Sering menangis dan mengikutkan perasaan
·         Menghormati orang tua
·         Menyatakan Ngah Deman telah mati bunuh diri akibat kesalahannya

NGAH DEMAN
·         Bekas suami Bibah
·         Tinggal dihujung kampung
·         Tidak suka bergaul dengan masyarakat kampung
·         Suka menyendiri
·         Digambarkan seorang yang tidak mempunyai perasaan

KESIMPULAN
Secara keseluruhannya ‘Pengadilan ialah sebuah skrip yang beraliran realism dimana isi kandungan tidak bersifat imaginasi dan bukan khayalan penulis. ‘Pengadilan’ juga boleh dikatakan sebagai sebuah drama mahkamah walaupun penulis tidak melatarbelakangkan cerita dengan mahkamah tetapi situasi pengadilan tentang kes pembunuhan dilihat sama.

MANFAAT TEKS SKRIP INI TERHADAP PEMBACA
Skrip drama ‘Pengadilan’ memberikan banyak manfaat kepada pembacanya. Hal ini kerana, kandungan yang diketengahkan oleh penulis sarat dengan pembelajaran dan pengajaran. Selain itu penulis juga tidak lupa dalam menjalankan tanggungjawab sebagai khalifah iaitu dengan menjadikan karya beliau sebagai wadah dalam mempertingkatkan ketakwaan dan keimanan kepada Allah S.W.T. Sifat- sifat yang baik yang digambarkan oleh watak Pak Aji harus dicontohi oleh setiap golongan iaitu tidak mengambil keputusan terburu- buru sehingga mendapat bukti yang sahih. Disini juga penulis menekankan bahawa setiap persoalan yang berlaku dalam masyarakat boleh diselesaikan dengan mudah jika kita sering mengaplikasikan Al- Quran dan hadis sebagai panduan dan pegangan hidup.

No comments:

Post a Comment